
Malaysia kecam keras serangan udara Israel di Doha – PM Anwar
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel di Doha yang disifatkan sebagai pelanggaran kedaulatan Qatar dan pencabulan serius undang-undang antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, tindakan agresif itu membahayakan nyawa orang awam, menyerang pusat ibu kota berdaulat serta berisiko memburukkan lagi keadaan di rantau yang sedia tegang.
“Dengan menyasarkan Qatar, sebuah negara yang menjadi pusat pengantaraan dan dialog di Asia Barat, Israel telah menunjukkan sikap tidak menghormati keamanan dan diplomasi,” katanya.
Datuk Seri Anwar menegaskan, serangan itu tidak boleh dipertahankan serta tidak boleh diterima, sambil menyatakan solidariti penuh Malaysia bersama Qatar.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan agresif tersebut.-10/9/2025