
Muhammad Adlan…menantu Muhyiddin yang jadi buruan SPRM dipercayai ada di Timur Tengah
Semua orang tahu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan,48 masih menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak menghilang diri pada 17 Mei 2023.
Statusnya sebagai menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan kesnya mencuri perhatian ramai.
Dia sedang disiasat SPRM kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing sewaktu melarikan diri ke luar negara.
Tandatanya yang berlegar di negara mana dia berada sekarang.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Rabu menjawab tandatanya itu.
Katanya Muhammad Adlan kini dipercayai berada di sebuah negara Timur Tengah.
Namun beliau enggan sebut negara berkenaan.
“Negara itu tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia,”katanya kepada wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur.
“Usaha mengesan beliau (Adlan) masih dijalankan dan kita (SPRM) sudah membuat satu tindakan semalam dan berharap Kementerian Dalam Negeri akan bersetuju permohonan membatalkan pasportnya.
“Kita juga masih berbincang dengan negara terbabit bagaimana cara untuk membawanya pulang semula ke negara ini,” katanya.
Selain Muhammad Adlan turut sama melarikan diri pada 21 Mei 2023 ialah peguam Mansoor Saat,69.
Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).
Jika dapat dibawa kembali dia akan menghadapi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).
Azam Baki berkata kertas siasatan membabitkan Muhammad Adlan telah pun selesai dan sudah bersedia untuk dituduh di mahkamah, namun sehingga kini beliau masih belum dapat dikesan.
“SPRM telah hantar kertas siasatan itu untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya.-10/9/2025