
Kerajaan setuju secara prinsip pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya – Fahmi
Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan penuh peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri pagi Rabu.
“Setelah pertimbangan menyeluruh, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan sepenuhnya dengan kedua-dua jawatan diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Kompetitif dipengerusikan Datuk Seri Azalina,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya pada Rabu.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan berasingan memaklumkan bagi tujuan pengasingan itu, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Menurut BHEUU JPM, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) turut akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan.
Pada masa sama, sebuah akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).
Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri turut bersetuju pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.
“Pasukan Petugas Khas Teknikal diterajui BHEUU JPM bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan,” katanya.
Menurut BHEUU JPM, syor lengkap hasil perincian itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada.
“Langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” menurut kenyataan itu. – Bernama 10/9/2025