
PM arah lawatan menteri ke luar negara dihentikan sementara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar semua lawatan menteri-menteri ke luar negara dihentikan sementara, serta-merta.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu berkuatkuasa serta-merta kecuali bagi mesyuarat-mesyuarat berjadual atau perkara yang diberi pertimbangan khusus oleh jemaah menteri.
Katanya, arahan itu adalah bagi memastikan semua menteri memberi fokus dan keutamaan kepada pelaksanaan beberapa program dan persiapaan menuju Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri pada 10 Oktober ini.
“Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober, beberapa minggu lagi. Selain itu, arahan ini juga sebagai persiapan menuju Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada hujung Oktober.
“Jadi, keputusan ini telah dibuat dan akan berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam sidang media khas Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.-11/9/2025