TAHUKAH ANDA

Mahkamah benarkan injunksi larangan MCMC terhadap Telegram

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis meluluskan permohonan injunksi larangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Telegram Messenger Inc berhubung dua saluran yang didakwa menyebarkan kandungan menyalahi undang-undang, iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.

Menurut peguam mewakili MCMC, S. N. Nair, keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahazan Mat Taib selepas meneliti permohonan suruhanjaya bagi menghentikan operasi kedua-dua saluran tersebut yang didakwa menyebarkan kandungan memudaratkan serta bertentangan dengan undang-undang.

“Mahkamah telah membenarkan permohonan untuk 33 artikel yang dipertikaikan dikeluarkan daripada dua saluran tersebut. Ini merupakan salah satu tuntutan utama dalam permohonan kami,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua saluran Telegram terbabit ditutup dan dihentikan sementara sehingga kes selesai dibicarakan.

Tambah S. N. Nair, MCMC turut memohon injunksi mandatori, namun permohonan itu tidak dibenarkan oleh mahkamah.

“Mahkamah berpandangan bahawa permohonan injunksi mandatori tidak wajar kerana isu yang dibangkitkan tidak melibatkan penapisan kandungan secara langsung,” jelasnya.

Prosiding tersebut dijalankan secara tertutup, dan mahkamah menetapkan 24 September ini sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Sementara itu, MCMC menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan aplikasi Telegram.

Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan bahawa perintah larangan sementara itu menghalang defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas serta pihak Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan seperti dinyatakan dalam tuntutan MCMC.

“Keputusan ini adalah selaras dengan mandat MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk melindungi kepentingan pengguna, selain memastikan platform digital tidak disalahgunakan,” kata kenyataan itu.

MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau pematuhan terhadap perintah mahkamah tersebut, manakala isu-isu lain berkaitan tindakan undang-undang berkenaan akan diputuskan pada perbicaraan penuh kelak.

“MCMC kekal komited memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya dan ancaman penyalahgunaan,” tambah kenyataan itu.-11/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button