TAHUKAH ANDA

Hospital Bukit Mertajam menang anugerah berprestij Hospital Paling Lestari

Hospital Bukit Mertajam (HBM) mencatat sejarah apabila meraih Anugerah Emas bagi kategori Hospital Paling Lestari (Most Sustainable Hospital) di Anugerah Hospital Management Asia (HMA) 2025, sekali gus menjadi hospital awam pertama negara yang menerima pengiktirafan berprestij itu.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, anugerah tersebut diterima pada majlis anugerah dan makan malam gala, malam tadi di Dewan Plenary GEM Center, Ho Chi Minh City, Vietnam bagi meraikan kecemerlangan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan melibatkan hospital-hospital dari seluruh Asia.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-24 penganjuran HMA yang mengiktiraf projek terbaik hospital dan individu di rantau ini. Persaingan edisi 2025 cukup sengit dengan 399 penyertaan daripada 140 hospital mewakili 14 negara, bersaing dalam 10 kategori utama.

“Penyertaan HBM bertajuk “Pioneering 135 Years of Eco-Friendly Healthcare: Hospital Bukit Mertajam’s Journey Towards Becoming A Sustainable Hospital” telah berjaya menambat perhatian juri dengan usaha komprehensif dalam bidang kelestarian, sekaligus menewaskan finalis lain termasuk Bangkok Hospital Phuket (Thailand), KPJ Selangor Specialist Hospital (Malaysia) dan National University Hospital (Singapura).

“Antara inisiatif hijau yang dilaksanakan HBM termasuk pengurusan tenaga melalui penaiktarafan sistem penyaman udara serta penggunaan lampu LED, program pengurusan sisa menyeluruh seperti tandas awam Zero-Waste, kitar semula sisa makanan, e-waste, kompos kebun serta sisa fabrik,” menurut hantaran tersebut.

JKN Pulau Pinang juga memaklumkan, hospital berkenaan turut melaksanakan usaha pengurangan karbon dengan menanam 1,100 pokok, mengurangkan perjalanan ambulans kosong bagi penjimatan bahan api, menanam sayuran hidroponik serta menggunakan dulang makanan biodegradasi untuk pesakit.

Delegasi HBM di majlis berprestij itu diketuai Pengarah Hospital, Dr. Prashant Subramanian, bersama pasukan pengurusan dan teknikal termasuk Dr. Kavin Raj Pergas, Encik Amin Mustaqim, Cik Nur Ashikin Saifozaman serta Ts. Norzihan Mohd Zawawi.

Kejayaan tersebut disifatkan sebagai pencapaian membanggakan yang membuktikan keupayaan hospital awam negara dalam menyediakan penjagaan pesakit bertaraf dunia, selamat, berkualiti dan pada masa sama, membina sistem kesihatan yang peka terhadap kelestarian iklim.

“Hospital Bukit Mertajam telah mencipta sejarah dengan kemenangan ini dan membuktikan bahawa hospital awam mampu melangkah ke hadapan sebagai institusi kesihatan bertaraf antarabangsa,” menurut kenyataan itu.-12/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button