YANG VIRAL

Kelantan,Terengganu, Perlis dan Kedah rekod jumlah penyalahgunaan dadah tertinggi…

Seramai 135,000 penagih dadah direkodkan di negara ini hingga 30 Jun lepas dimana Kelantan mempunyai jumlah penyalahgunaan dadah yang tertinggi diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah.

Lokasi yang bersempadan dengan negara jiran Thailand dikenal pasti sebagai faktor utama keempat-empat negeri berkenaan mempunyai bilangan penagih dadah paling ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beritahu demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Keluang di Jertih pada Sabtu.

Menurut menteri itu di empat negeri yang berkenaan lebih kurang 60 peratus pengambilan dadah melibatkan pil kuda dan syabu.

“Angka 135,000 penagih ini sesuatu yang membimbangkan. Bagi saya, 10 orang pun sudah membimbangkan kerana ia melibatkan kehilangan tenaga manusia. Strategi kita adalah mengurangkan angka ini secara signifikan melalui program pencegahan, pemulihan dan penguatkuasaan.

“Dari sudut profil penagih, mereka terjebak dalam lingkungan umur 15 hingga 35 tahun iaitu umur yang produktif. Jika tidak terjebak, mereka boleh menyumbang kepada (lebih kurang) 17 juta tenaga kerja produktif negara. Namun, kerana terlibat dengan aktiviti tidak sihat, potensi ini tidak dapat dimanfaatkan,”katanya.

“Kedua, dari segi tahap pendidikan, kebanyakannya berkelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan ke bawah. Dari segi pekerjaan pula, sebahagian besar tidak bekerja,” katanya.

Kata Saifuddin kerajaan melalui KDN akan terus memastikan AADK menjalankan tugas hakiki menangani masalah dadah dengan peruntukan kira-kira RM400 juta setahun yang antara lain termasuk mengurus serta menyelenggara kira-kira 30 pusat pemulihan di seluruh negara.

Selain itu, AADK juga bertanggungjawab mengurus hampir 53,000 klien termasuk yang berada dalam pusat pemulihan, komuniti dan institusi lain.

“Terdapat juga antara 11,000 hingga 12,000 klien berada di bawah KKM dan kira-kira 2,000 klien di bawah Puspen swasta. Gabungan usaha ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan impak penagihan dadah di Malaysia.- 13/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button