
Kepala air, banjir kilat akibat hujan lebat di Perak dan Selangor
Hujan lebat serta ribut petir tengah malam Ahad membawa kepada awal pagi Isnin menyebabkan beberapa kejadian kepala air di kawasan perkhemahan di Perak dan Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kira-kira 400 orang berdepan detik cemas apabila terperangkap susulan kejadian kepala air di tapak perkhemahan Ali River Campsite, Kuala Kubu Baharu.
Pihak Bomba menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 5.47 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi lapor terdapat anggaran 400 mangsa terperangkap kepala air.
“Kesemua mangsa diarahkan berpindah ke tempat tinggi dan selamat dengan pemantauan anggota bomba sehingga limpahan air surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, ketika ini, keadaan hujan di kawasan terbabit telah reda dan air sungai semakin surut.

Sementara itu, beberapa kawasan di Hulu Langat, Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak lewat malam Ahad, menyebabkan laluan utama dan kediaman penduduk terjejas.
Menurut penduduk tempatan, paras air mula naik dari Sungai Langat sekitar jam 4.30 pagi, menyebabkan jalan besar di kawasan tersebut dinaiki air dalam tempoh singkat.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Batu 16, Batu 18, Kampung Sungai Lui dan Sungai Pangsun.
Beberapa rumah berhampiran jalan utama dimasuki air, manakala sebahagian kenderaan yang diparkir turut tenggelam.
Pihak polis telah menutup laluan di kawasan Dusun Tua sebagai langkah keselamatan, dan pemantauan sedang dijalankan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa daripada pihak berkuasa.
Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.-15/9/2025