YANG VIRAL

Jika PN menang PRU16, biar yang bawah 70 tahun jadi PM – Hadi Awang

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak kemungkinan beliau akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ahli Parlimen Marang itu berkata, terdapat panduan dalam memilih pemimpin yang layak seperti disebut di dalam al-Quran, antaranya perlu berilmu, kuat tubuh badan dan berintegriti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keutamaan PAS adalah menang PRU16 terlebih dahulu sebelum menentukan siapa calon Perdana Menteri yang layak.

“Kita bersedia untuk memimpin Malaysia tapi keutamaan kita adalah menang pilihan raya dahulu dan mendapat cukup sokongan. Bila menang, masalah siapa memimpin akan dipilih secara dalaman parti PN.

“Orang umur 70 tahun lebih macam saya ini sudah tak layak, jadi penasihat bolehlah. Biar yang umur 70 ke bawah jadi Perdana Menteri dan orang itu kuat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71, di Kota Sarang Semut Kedah.

Untuk rekod, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berusia 78 tahun, manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berusia 68 tahun.

Tapi kem Hamzah jangan gembira dulu… sebab Hadi dalam ucapan dasarnya yang bertajuk Kembali kepada Penyelesaian Islam menegaskan PAS bersedia memimpin masyarakayt majluk di Malaysia.

Beliau berkata, Islam mampu menyatukan masyarakat majmuk dalam suasana harmoni dan selamat.

“Inilah komitmen yang PAS janjikan kepada bukan Islam,” katanya menambah Islam mengutamakan keamanan dan persaudaraan tanpa paksaan dalam hal-hal kepercayaan.

Islam juga, katanya, mewajibkan pemimpin untuk mentadbir secara adil kepada semua, membenarkan penganut agama lain mengamalkan ajaran agama mereka selagi ia tidak melanggar batas.

“Pada masa sama, Islam mengarahkan umatnya supaya menghormati sensitiviti bukan Islam, termasuk dalam hal-hal teologi,” katanya.

Beliau berkata, PAS akan terus mengamalkan pendekatan damai, berpandukan al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW, dengan matlamat untuk menyelamatkan seramai mungkin manusia tanpa paksaan.

“PAS memilih sistem demokrasi walaupun ia ada kelemahan dan disalah guna. Kekuatan dakwah terletak pada kebenaran dan hujah yang rasional,” katanya turut merakamkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pengisytiharan terbuka bekas Perdana Menteri itu bahawa Islam adalah penyelesaian.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PAS mencatatkan kemenangan terbesar sejak penubuhannya, menguasai empat negeri dan memenangi jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain.

“Dengan kemenangan ini, datang cabaran yang lebih besar, iaitu untuk mengurus kemenangan, bukan sekadar mencapainya,” tambahnya.-15/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button