
Inisiatif Pendekar MADANI satukan semua aktiviti silat
Seni silat akan diperluas ke peringkat sekolah, politeknik, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah inisiatif Pendekar MADANI dalam usaha kerajaan menyemai disiplin, semangat dan jati diri generasi muda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif berkenaan akan digerakkan segera dengan peruntukan awal sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan MADANI.
Langkah itu akan memastikan seni warisan bangsa terus hidup dalam kalangan anak muda serta menjadi platform penyatuan masyarakat.
“Untuk Pendekar MADANI saya mulakan dengan peruntukan dari Kerajaan MADANI RM2 juta. Tugas kita sekali lagi saya sebut, bangsa Melayu tidak akan gagal..bangsa Melayu akan merempat, bangsa Melayu akan terus dihina, akan kecil, kalau tidak ada semangat bersatu, kalau tidak ada disiplin, kalau tidak ada kekuatan, menguasai ilmu dan ada kebanggaan, jati diri dan memuliakan budaya mereka sendiri,” kata beliau ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI bersempena sambutan Hari Malaysia, pada Selasa.
Menurut Anwar, pelaksanaan Pendekar MADANI juga melibatkan penyelarasan pelbagai pertubuhan silat melalui Pejabat Perdana Menteri.

Penyelarasan itu penting bagi mengelakkan perpecahan dan pada masa sama mengangkat silat sebagai simbol kekuatan bangsa yang berpaksikan disiplin, adab dan akhlak.
“Seni mempertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong tapi untuk melatih anak-anak bangsa kita. Dan kita akan pastikan semua sekolah kita mendukung semangat Pendekar MADANI ini dan seterusnya di politeknik, di institut pendidikan guru, pendidikan tinggi. Kita akan hidupkan ini, sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda,”
Perdana Menteri berkata silat adalah warisan Melayu yang menolak sikap angkuh serta penindasan, sebaliknya menekankan semangat keberanian, kesetiaan dan keadilan.
Beliau turut menekankan semangat silat harus diterjemahkan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar di gelanggang, dengan menekankan nilai jiwa bersih dan akhlak mulia.
Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan pelantikan Datuk Abdullah Ghani untuk membantu menyelaras pelaksanaan Pendekar MADANI.
Beliau berkata kerajaan juga bercadang menganjurkan perhimpunan silat berskala besar sama ada di Kuala Lumpur atau Putrajaya pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Majlis tersebut turut meraikan tokoh veteran silat iaitu Cikgu Majid, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam memartabatkan seni bela diri tanah air selama puluhan tahun.-17/9/2025