
Banjir memburuk… Kakitangan Sabah Electricity hanyut ketika seberang jambatan
Kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan yang dilanda banjir di Kampung Nuntunan Apin-apin, malam tadi.
Difahamkan, mangsa lelaki berusia 30-an bersama dua rakannya sebelum itu melakukan kerja-kerja di pencawang berhampiran jambatan gantung.
Mereka kemudian cuba melintas jambatan simen di kawasan berkenaan, namun tiba-tiba arus deras melanda sehingga menyebabkan ketiga-tiganya panik.
Dua mangsa berjaya keluar ke tebing, manakala mangsa sempat berpaut pada tali sebelum ia terlepas dan dihanyutkan arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 9.57 malam dan pasukan sembilan anggota bersama jentera ke lokasi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.
“Pencarian ditumpukan di tebing sungai kerana keadaan sungai berarus deras,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Sehingga jam 11.30 malam, mangsa masih belum ditemui.-17/9/2025