
Kempen Internet Selamat, wujudkan ruang digital yang inklusif
Kempen Internet Selamat merupakan antara usaha Kerajaan Madani bagi membendung isu keselamatan digital termasuk penipuan dalam talian, judi digital, kandungan seksual kanak-kanak serta penyalahgunaan media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif berkenaan mampu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan inklusif, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita mainkan peranan bersama-sama dalam membina ruang digital dan bukti komunikasi yang positif dengan mengimbas kisah kejayaan, inspirasi serta nilai-nilai murni yang mampu mengangkat, bukan mengecam identiti. Inilah bentuk tanggungjawab kolektif,” katanya ketika berucap demikian bersempena Sambutan Hari Malaysia 2025 diPusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, di sini.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Sambutan bermula seawal 8.30 malam itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan merangkumi lima segmen utama yang menampilkan identiti serta warisan Melayu, Cina, India, dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah adalah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020, yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.-17/9/2025