FOKUS

Sin Chew dan Sinar Harian kena denda RM100,000 kerana Jalur Gemilang dan siar maklumat tak tepat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menggesa semua organisasi media dan pengguna media sosial supaya sentiasa memastikan ketepatan dan kesahihan kandungan yang diterbitkan terutamanya apabila melibatkan lambang dan simbol rasmi negara.

Serentak dengan itu MCMC memberitahu dua syarikat media tempatan Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd masing-masing dikenakan denda RM100,000 berkaitan hal berkenaan selepas diberi kuasa untuk mengambil tindakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC berkata siasatan telah dilancarkan selepas Sin Chew Daily didakwa memuat naik paparan tidak lengkap Jalur Gemilang di laman web mereka.

Akhbar itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit di muka hadapanya bertarikh 15 April lalu.

Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap yang diletakkan bersebelahan bendera China itu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyifatkan akhbar itu sebagai tidak peka.

Secara berasingan, Sinar Harian didenda kerana menyiarkan maklumat tidak tepat mengenai Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Ismail, di laman Instagram, yang mengaitkannya dengan individu berpangkat tinggi dalam sebuah parti politik tempatan.

Ia disiarkan pada 20 Jun lalu.

Kedua-dua syarikat media itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan didakwa mengikut Seksyen 243 undang-undang yang sama.

Di bawah Seksyen 233 akta itu, penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar kandungan yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam, dengan niat untuk menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu boleh membawa denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa.

“Pada masa sama, penyebaran kandungan palsu yang melibatkan institusi keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa,” katanya.

MCMC selanjutnya menegaskan bahawa ia akan terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang tersebut, dan melaksanakan inisiatif literasi digital untuk menjaga keharmonian dan kestabilan negara.-19/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button