
PETRONAS Gas sahkan kejadian saluran paip gas bocor di Kerteh
PETRONAS Gas Berhad (PGB) mengesahkan kejadian kebocoran gas pada saluran paip berhampiran Kampung Chabang, Kerteh, pagi semalam.
“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.50 pagi dan berada dalam keadaan terkawal manakala lokasi kejadian itu jauh dari laluan serta penempatan penduduk.
“Pemantauan secara berterusan sedang dijalankan sementara saluran paip yang terlibat telah diasingkan,” maklum PGB dalam kenyataan semalam.
PGB turut menjelaskan sebagai langkah keselamatan lokasi kejadian ditutup kepada orang ramai dan pekerja.
Ujarnya, kakitangan syarikat berkenaan juga sudah ditempatkan untuk memantau lokasi kejadian.
“Bagaimanapun kejadian itu juga tidak menjejaskan bekalan gas kepada pelanggan berikutan penghantaran diteruskan melalui saluran paip gantian dalam rangkaiannya,” menurut kenyataan itu.
Semalam Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli dilaporkan berkata insiden itu berlaku di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, Kerteh.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira jam 9.53 pagi dan dilaporkan berlaku kira-kira dua kilometer dari laluan utama serta tidak membabitkan perkampungan atau kediaman penduduk.
Berikutan itu, katanya, jalan Kerteh ke Kampung Ranggon ditutup sementara waktu kepada pengguna jalan raya.-21/9/2025



