TAHUKAH ANDA

Denda media silap Jalur Gemilang RM100,000… Kebebasan datang dengan amanah

Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan denda RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Daily dan Sinar Harian tidak boleh dilihat sebagai usaha mengekang kebebasan media, sebaliknya langkah perlu bagi menegakkan tanggungjawab dan etika kewartawanan.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi menegaskan, kebimbangan segelintir pihak termasuk wartawan veteran Tan Sri Johan Jaafar yang menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak pernah berlaku dan berbahaya” adalah tafsiran yang kurang tepat.

“Isu ini bukan soal menutup mulut media, tetapi mengingatkan bahawa kebebasan yang dimiliki mesti datang bersama amanah. Media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pandangan masyarakat, justeru keutamaan mereka mestilah kepada ketepatan dan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kesilapan Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak sempurna dengan alasan berpunca daripada penggunaan kecerdasan buatan (AI), Asheeq menyifatkan alasan itu tidak boleh diterima.

“Bendera negara adalah lambang kedaulatan. Menyiarkan versi yang cacat bukan kesalahan kecil. Ia menggambarkan kelemahan kawalan editorial yang sangat mendasar. Jika denda dianggap berbahaya, maka kecuaian seperti ini adalah malapetaka kepada imej negara,” katanya.

Dalam kes Sinar Harian pula, Asheeq Ali menegaskan, kesalahan melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail kononnya ahli sebuah parti politik adalah lebih serius kerana melibatkan nama baik institusi keselamatan.

“Tindakan itu jauh lebih berbahaya daripada denda. Ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap profesionalisme dan neutraliti Ketua Polis Negara.-20/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button