
Berbagai mekanisme bayar RON95… bukan hanya MyKad
Pembelian petrol RON95 akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran, dan tidak bergantung kepada MyKad fizikal semata-mata, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, justeru orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya berdepan kesukaran apabila ingin membeli petrol bersubsidi akibat MyKad yang rosak kerana mereka boleh memilih pelbagai mekanisme disediakan untuk mendapatkan subsidi itu.
Menurut Armizan, antaranya melalui aplikasi yang telah disediakan syarikat minyak seperti Setel dan Shell App yang membolehkan orang ramai menikmati subsidi itu dengan lebih mudah dan cepat.
“Pengguna juga boleh menggunakan kaedah pembayaran di terminal pembayaran di luar atau di dalam stesen minyak untuk membeli petrol bersubsidi itu. Jadi, jangan khuatir, jangan anggap bahawa MyKad (fizikal) hanya satu-satunya kaedah.
“Walaupun semuanya akan disandarkan kepada kelayakan yang ada dalam MyKad, pembelian itu tidaklah hanya bergantung pada satu kaedah semata-mata,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah yang diadakan selama sehari di Penampang dan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta dihadiri lebih 1,000 mahasiswa dari seluruh negeri.
Tegas Armizan, kerajaan memastikan persiapan yang teliti telah dilakukan sejak awal tahun demi kelancaran pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
“Kita akan memastikan langkah ini berjalan dengan lancar dan tidak akan membebankan rakyat, apatah lagi menyebabkan ada tuduhan bahawa rakyat akan terpaksa beratur panjang nanti,” katanya.-22/9/2025