
Harga RON95 Malaysia antara termurah di dunia
Mungkin ramai yang tidak sedar hal ini dan merasa bersyukur rakyat negara ini dapat menikmatinya.
Tahukah anda tentang kedudukan harga minyak RON95 Malaysia dalam dunia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan beritahu dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter yang akan berkuat kuasa pada 30 September ini,Malaysia kini antara negara yang mempunyai harga petrol RON95 paling murah di dunia.
Beliau menjelaskan sebenarnya walaupun dengan harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter ia tetap antara termurah.
“Kalau kita lihat, harga RM1.99 ini memang yang paling murah. Sekiranya dinaikkan kepada harga pasaran, kita masih lagi tergolong antara negara dengan harga minyak terendah.
Beliau beritahu demikian kepada para wartawan dalam sidang akhbar selepas satu majlis di Jeti Pulau Betong, di Pulau Pinang pada Isnin.
Menjawab soalan sama ada harga RM1.99 seliter itu akan diturunkan sekiranya harga minyak dunia jatuh, beliau berkata, harga tersebut akan kekal kerana ia merupakan harga subsidi.
“RM1.99 adalah harga bersubsidi, jadi ia akan dikekalkan dan tidak boleh diturunkan lagi.
“Alhamdulillah, kita masih boleh bersyukur kerana harga minyak di negara kita adalah antara yang terendah di dunia,” ujarnya.
Amir Hamzah juga beritahu kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi petrol baharu yang menggunakan MyKad bagi pengesahan kelayakan rakyat Malaysia.
Katanya skim ini bertujuan memastikan petrol bersubsidi hanya disalurkan kepada rakyat yang layak selain mengelakkan ketirisan atau penyalahgunaan termasuk penjualan kepada warga asing.
“Skim subsidi ini bukan sahaja memberi manfaat terus kepada rakyat, malah dapat mengekang penyalahgunaan yang sebelum ini berlaku.
“Selepas pelaksanaan subsidi petrol ini, jumlah penjimatan bergantung kepada harga minyak mentah dunia yang ditentukan di pasaran antarabangsa.
“Jika harga minyak dunia sekitar AS$75 setong, penjimatan subsidi boleh mencecah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.- 22 /9/2025