
SPRM pulangkan dana rampasan RM1.66 billion pada kerajaan
Bayangkan betapa banyak bantuan kepada rakyat dan segala macam projek yang dapat dilaksana dengan dana berjumlah RM1.66 billion.
Itulah jumlah dana yang dipulangkan oleh SPRM kepada kerajaan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini hasil dari aktiviti rasuah, penyeludupan, dan pengubahan wang haram telah berjaya dibekukan dan disita.
Jumlah tersebut merangkumi aset, wang tunai, dan barangan berharga yang dirampas melalui pelbagai operasi yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) yang diketuai SPRM.
SPRM berperanan sebagai penggerak utama MATF dengan tanggungjawab mengurus pengumpulan bukti, mengesan aliran wang dan aset serta mengemukakan permintaan bantuan undang-undang antarabangsa.
SPRM turut bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kehakiman bagi menyita aset di dalam serta luar negara, selain memastikan aset yang berjaya dipulangkan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan 1MDB.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki beritahu sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Isnin sepanjang tahun ini sejumlah RM960.73 juta telah dipulangkan kepada kerajaan hasil enam operasi besar yang dijalankan sebelum ini.
Operasi tersebut dijalankan bersama agensi rakan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Antara operasi yang dibongkar termasuklah ‘Ops White’ membabitkan penyelewengan kontrak susu tepung (RM174.7 juta), ‘Ops Knight’ kes penipuan pelaburan durian (RM16.15 juta), dan ‘Ops X’ kes penipuan wang kripto (RM28.6 juta).
Selain itu, ‘Ops Sikaro’ membongkar sindiket penyeludupan rokok (RM218 juta), ‘Ops Metal’ tangani penyeludupan besi dan e-waste (RM332.5 juta), dan ‘Ops Karen’ memerang sindiket penyeludupan minyak (RM190.8 juta).
Mnurut Azam Baki pada tahun lalu seramai 34 penjawat awam dan 27 orang awam telah ditahan dalam operasi memerangi jenayah terancang itu.
“Daripada jumlah itu, seramai 25 penjawat awam berjaya dituduh dengan 352 pertuduhan dan lapan orang dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.- 22/9/2025