
Fahmi kecewa Meta masih gagal benteras aktiviti jenayah siber
Ini bukan cakap kosong tetapi berlandaskan stastik…dan gejala ini jika tidak dibendung segera tentu sekali membimbangkan.
Makanya tidak hairan apabila Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyuarakan tidak puashati dan kecewa terhadap Meta yakni platform bagi Facebook, Instagram dan WhatsApp dalam usaha membenteras aktiviti jenayah siber.
Beliau memberitahu dari tahun 2023 hingga Ogos 2025 kes penipuan e-dagang melibatkan platform Meta seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp mencatat kerugian terkumpul melebihi RM248 juta.
Sebaliknya dalam tempoh berkenaan statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) merekodkan sebanyak 18,128 kes.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin beliau menegaskan jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.
“Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat selepas pertemuan bersama pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Mesyuarat turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Jelas Fahmi, perbincangan memberi tumpuan kepada isu judi dalam talian, penipuan siber, penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (agama, kaum, institusi diraja) serta penjualan produk terlarang seperti cecair e-rokok mengandungi dadah.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, setakat 19 September, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada pihak Meta bagi platform Facebook.
Jumlah itu, ujar beliau mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi.
Daripada jumlah tersebut, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.
“Manakala bagi aktiviti scam, daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat, 36,918 diturunkan.
“Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Meta memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.
Katanya, Meta dan semua platform media sosial lain telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID, untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada akaun.
“Ini kerana sistem sedia ada didapati masih gagal menyekat pengguna bawah umur, serta gagal melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai,” tambah beliau.
Tegas beliau, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan dan penyedia platform mempunyai tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan. – 22/9/2025