TAHUKAH ANDA

Doa tulus masyarakat iringi GSF ke Gaza – PM Anwar

Menjelang seminggu terakhir sebelum ketibaan ke perairan Gaza… Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa dengan harapan besar agar misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berjalan lancar.

Perdana Menteri berharap usaha yang dilakukan menerusi misi berkenaan dapat memberi sinar buat rakyat Gaza yang sedang ditindas rejim Zionis.

“Doa tulus daripada seluruh masyarakat mengiringi misi pelayaran kemanusiaan GSF.

“Semoga usaha ini menjadi sinar harapan rakyat Gaza yang sedang diuji dan menjadi saksi kepada kesatuan nurani kemanusiaan sejagat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Misi bantuan GSF kini sedang berlayar ke perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum menuju ke Gaza memasuki fasa paling penting.

Ia disifatkan detik penentu keseluruhan gerakan itu dalam tempoh seminggu ini.

Berdasarkan perkembangan dikongsikan pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menyertai misi itu berkata, kapal GSF kini menuju ke perairan berkenaan untuk berkumpul dengan kapal lain, yang turut serta dalam misi itu.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.-23/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button