
Jemput Trump selari prinsip berani bersuara berdepan bukan menggelak – PMO
Ekoran ada suara yang masih pertikai dan mempersoalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hadiri ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan,Pejabat Perdana Menteri (PMO) terus berusaha memberi penerangan agar memahami kedudukan sebenar.
Pada Selasa Setiausaha Akhbar Kanan, Tengku Nashrul Tengku Abaidah tampil disesi taklimat harian beliau dengan menjelaskan keputusan mengekalkan jemputan kepada Trump adalah selaras dengan prinsip diplomasi yang menuntut keberanian menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukannya mengelak.
“Menolak kehadiran Trump bukanlah jalan penyelesaian kerana diplomasi perlu diurus dengan matang,” katanya.
beliau turut mengingatkan bahawa diplomasi memerlukan keberanian untuk menyuarakan kebenaran secara terus kepada pemimpin dunia.

“Menutup pintu kepada mana-mana pihak tidak akan membawa penyelesaian, sebaliknya ia perlu diuruskan secara profesional agar suara ASEAN kekal didengar,” katanya.
Katanya pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak pernah berubah walaupun Presiden Trump bakal hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-4.
“Malaysia konsisten membela Palestin sejak dahulu malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara suara paling lantang di dunia menentang kekejaman Israel.
Menurut beliau, jemputan itu bukanlah pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin, sebaliknya menunjukkan penghormatan kepada ASEAN sebagai satu blok serantau dan Malaysia sebagai pengerusi.
Katanya, kepengerusian ASEAN hanya berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun bagi sesebuah negara dan inilah peluang terakhir Malaysia sebelum menyerahkan giliran kepada Filipina.
“Malaysia membawa suara ASEAN agar sidang kemuncak kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata, tetapi juga agenda bersama seperti memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan dan mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia,” katanya.
Tengku Nashrul berkata, kehadiran pemimpin kuasa besar termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea, Australia dan GCC akan memperlihatkan kekuatan ASEAN sebagai rakan dialog yang relevan di mata dunia.
“Dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip dan matang dalam diplomasi.
“Kerajaan Madani akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah dan lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat serta bijaksana mengimbangi diplomasi global,” katanya.- 30/9/2025
Anwar pertahan jemputan Trump, Malaysia terus suarakan isu Palestin menerusi platform ASEAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.
Anwar berkata, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin.
Beliau berkata, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.
Perdana Menteri berkata, walaupun bukan negara besar, Malaysia tetap dihormati dunia kerana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan serta kebebasan bersuara di pentas antarabangsa.
“Malaysia lantang mempertahankan Palestin, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan.
“Sebab itu kita kena pandai berunding. Suara kita tetap menyatakan yang benar dan hak tetapi dengan cara bijaksana,” kata beliau pada Majlis Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan di Sandakan pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Anwar berkata, sikap segelintir pihak yang menolak hubungan dengan Amerika Syarikat menunjukkan mereka tidak mengambil kira kepentingan ekonomi dan negara, khususnya dalam sektor eksport produk berteknologi tinggi.
“Nilai eksport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat sahaja berbilion ringgit. Puluhan ribu rakyat bekerja dalam sektor itu. Kalau kita tolak bulat-bulat, yang rugi rakyat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia sebuah negara kecil, kemampuan pentadbiran selain dasar luar dan corak diplomasi yang jelas dan terbuka telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa dihormati dunia.
Perkara itu, kata beliau, jelas terbukti apabila Malaysia menjadi orang tengah dalam konflik serantau, termasuk di sempadan Thailand-Kemboja serta proses peralihan kemerdekaan Timor-Leste.
“Beberapa bulan lepas Presiden Xi Jinping datang, bulan depan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula datang. Mana ada banyak negara kecil dapat layanan begitu. Ini bukti dunia hormat Malaysia.
“Ketika ada konflik di sempadan Thailand-Kemboja, mereka minta Malaysia jadi orang tengah. Begitu juga Timor-Leste, dulu sebahagian daripada Indonesia, kini merdeka dan insya-Allah Oktober ini akan menjadi anggota ASEAN ke-11,” kata beliau.
Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN. – Bernama-27/9/2025