
10 ADUN Bersatu Selangor desak Wan Saiful dipecat…
Ini menarik untuk diikuti perkembangannya… selepas Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan lepas ‘bom asap’ dakwa video membabitkan Datuk Seri Azmin Ali tulen, pemimpin-pemimpin Bersatu Selangor pulak buat serang balas.
Lebih sepuluh ADUN Selangor dari BERSATU hari ini menggesa Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tegas serta keras iaitu pemecatan ke atas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta tiga lagi pemimpinnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, mereka mendakwa Wan Saiful serta dalang lain di sebalik usaha terancang mahu menjatuhkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui gerakan akuan bersumpah (SD), sedang memutar belit fakta dan cuba mengubah naratif selepas komplot yang mereka rancang sebelum ini gagal.
“Penipuan tidak boleh ditutup dengan siri penipuan baharu. Tindakan ini mestilah berbentuk pemecatan serta-merta daripada parti, demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan.
“Ketegasan ini penting untuk memelihara keyakinan rakyat serta memastikan parti terus kekal utuh dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Wan Saiful, turut dikaitkan dengan percubaan menjatuhkan Muhyiddin melalui gerakan SD sebelum ini adalah Ketua Bahagian BERSATU Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali; Ketua Bahagian BERSATU Ampang, Isa Saidi; serta Ketua Bahagian BERSATU Ipoh Timur, Muhd Fadhli Ismail.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan ADUN Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Rosnizan Ahmad (Morib); Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis); Dr Afif Bahardin (Taman Medan); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); serta ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan.
Selain itu, ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh; Datuk Noorazley Yahya (Bukit Melawati); Nurul Syazwani Noh (Permatang); serta ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani.
Mengulas lanjut, mereka menjelaskan perkara yang sewajarnya diberi perhatian oleh Wan Saiful ketika ini adalah berdepan kes mahkamahnya sendiri.
“Wan Saiful bukan saja sudah disiasat, malah kini berdepan dengan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan wang jutaan ringgit.
“Pendakwaan ini membuktikan bahawa pihak berkuasa mempunyai asas kukuh dan beliau wajar menjawab pertuduhan tersebut di muka pengadilan, bukannya menyerang pihak lain dengan tuduhan tidak berasas,” katanya.
Dalam pada itu, mereka turut mengecam keras fitnah jijik yang diulang terhadap Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkait isu ketulenan klip video sedangkan kes berkenaan sudah pun disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara mendalam lebih daripada lapan bulan lamanya.
“Pada 9 Januari 2020, Peguam Negara ketika itu sudah mengesahkan bahawa selepas meneliti semua bukti dan keterangan, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada kes untuk pertuduhan.
“Syor itu diterima oleh Peguam Negara dan memutuskan tiada sebarang pendakwaan dibuat,” katanya.-30/9/2025