
Pertemuan Anwar-Trump di KL… ruang dialog hentikan kezaliman di Gaza
Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelak akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog kekal sebagai antara aparat utama dalam menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza.
Pertemuan itu juga menurut Perdana Menteri, akan menjadi ruang untuk suara keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi.
“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman,” katanya menerusi hantaran berkaitan lawatannya ke Markas Utama MAPIM untuk Global Sumud Flotila (GSF) petang semalam di Facebook.
Pada masa sama, Anwar menitipkan doa buat pasukan 34 sukarelawan dari Malaysia serta keseluruhan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang berlayar ke Gaza.
“Mari bersama terus berdoa kepada Allah SWT agar usaha ini diberi perlindungan dan menjadi sinar terbaik serta jawapan yang ampuh kepada kezaliman ini.”
Beliau berkata, kerajaan Malaysia kekal mendukung dan sentiasa bersama-sama pasukan misi itu bagi memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada rakyat Gaza.
“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga. Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak pada peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global,” kata beliau.-1/10/2025



