
Bersatu vs Bersatu… Saifuddin masuk gelanggang pertahan Wan Saiful
Ahli Parlimen Bersatu Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah masuk gelanggang mempertahankan rakan baiknya Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan kecaman selepas mengadakan sidang media pada Isnin.
Menurut Saifuddin, sikap penyokong Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang melatah selepas tujuan sebenar akuan sumpah (SD) ditandatangani 120 Ketua Bahagian Bersatu didedahkan oleh Wan Saiful.
Ketika penyokong Presiden parti, Tan Seri Muhyiddin Yassin seharusnya berasa lega dengan penjelasan itu, lain pula respon penyokong Azmin dan Tun Faisal.

Dalam catatan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, beliau memberi bayangan penyokong Azmin dan Tun Faisal seolah panas punggung mengenai penjelasan SD tersebut.
“Sidang media Wan Saiful menjelaskan bahawa tujuan dokumen akuan yang ditandatangani 120 Ketua Bahagian ialah untuk mengelakkan usul yang tidak sesuai daripada dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).
“Penyokong Tan Sri Muhyiddin seharusnya lega.
“Tapi penyokong Azmin dan Tun Faisal nampaknya melompat dan melatah,” kata Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, dalam nada sinis.
Azmin merupakan Setiausaha Agung Bersatu manakala Tun Faisal adalah Ketua Penerangan.
Pertempuran dalaman parti Bersatu dipercayai antara penyokong kem Presiden parti itu Muhyiddin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.-1/10/2025