
Kes wang RM169 juta: Penentu kedudukan Ismail Sabri terletak pada Peguam Negara
Selepas SPRM berjaya melucut hak dan mengembalikan wang tunai lebih RM169 juta milik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada kerajaan tandatanya terus berlegar bagaimana pula keduduan bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki pada Rabu memberi jawapan itu ketika ditemui wartawan di Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Peluncuran “Keep Malaysia Clean” (KMC) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Katanya kini semuanya terserah kepada Peguam Negara sama ada kes Ismail Sabri nak diteruskan untuk menuduh ataupun tidak.
Katanya beliau dan pasukannya sudah melaksanakan tugas untuk memulih dan mengembalikan aset negara kepada kerajaan.
“Saya hanya menunggu daripada Peguam Negara sama ada kesnya (Ismail Sabri) nak diteruskan untuk menuduh ataupun tidak, itu sahaja.
“Terpulang kepada beliau tapi sebagaimana pemulihan aset, kita sudah jalankan tugas kami, semua aset sudah dikembalikan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Hakim Mahkamah Sesyen , Suzana Hussin pada Rabu memutuskan wang tunai RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM.
Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah) dan AUD352,850.
Perintah itu dikeluarkan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucutkan hak harta terbabit. – 1/10/2025
SPRM sita wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri
Wang tunai lebih RM169 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini secara rasmi menjadi harta kerajaan.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin memerintahkan wang itu dilucut hak kepada kerajaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat, selaku pemohon, memaklumkan bahawa tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta tersebut.
“Responden (Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus) tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan pemohon ini, dan mahkamah telah merekodkannya pada tarikh sebelum ini (8 Sept).
“Mahkamah mendapati tiada sebarang tuntutan dibuat oleh pihak ketiga terhadap harta-harta ini. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon untuk harta-harta yang disenaraikan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009,” katanya semasa prosiding sebutan kes itu.
Warta pihak ketiga merujuk kepada proses mahkamah mewartakan notis memaklumkan kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa.
Pada prosiding hari ini, Mahadi berkata semasa sebutan kes sebelum ini iaitu 8 Sept lepas, mahkamah telah merekodkan bahawa kedua-dua responden tidak berhasrat untuk mencabar permohonan SPRM bagi melucut hak wang itu kepada Kerajaan Malaysia
“Mahkamah telah memberi kebenaran untuk menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan pihak ketiga dan warta ini telah disiarkan pada 22 Sept lepas dan difailkan secara e-kehakiman.
“Oleh itu, kami memohon supaya harta-harta yang disenaraikan dalam notis permohonan ini, yang bernilai lebih RM169 juta, dilucut hak kepada kerajaan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009,” katanya pada prosiding itu yang turut dihadiri peguam K.Ragunath serta Joshua Tay mewakili Ismail Sabri dan Mohammad Anuar.
Sebelum ini, Ismail Sabri dan Mohammad Anuar melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lepas kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian untuk tidak mencabar permohonan lucut hak itu.
Pada 7 Julai lepas, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Jumlah itu meliputi RM14,772,150; SG$6,132,350; USD1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil untuk dirakam percakapan berkaitan pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Rampasan itu dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas.
- Bernama – 1/10/2025