
Mahkamah Persekutuan tolak rayuan bekas wakil rakyat kes rogol pembantu rumah…terus dihantar ke penjara
Selepas enam tahun berlalu akhirnya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong menerima padahnya dalam kes merogol pembantu rumahnya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di Putrajaya diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Rabu menolak rayuan akhir Paul, 55, untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara termasuk sebatan.
Mahkamah memerintahkan bekas ADUN itu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan.
Beliau kemudian ibawa ke penjara untuk jalani hukuman serta merta.
Selepas mendengar keputusan itu, Paul yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul.
Isteri dan anak-anaknya juga kelihatan sedih dengan keputusan berkenaan kemudian memegang tangan Paul sebelum dibawa ke penjara.
Dalam prosiding hari ini, Paul diwakili peguam, Datuk Rajpal Singh, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir sementara pendakwaan selaku responden dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.
Paul didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas satu pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.
Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.
Perbicaraan bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Paul diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember tahun sama.
Pada 27 Julai 2022, Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak terbabit bersalah dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan bersalah dan dua sebatan terhadapnya.
Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.
Tidak berpuas hati dengan keputusan panel hakim, ahli politik berkenaan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan empat hari kemudian iaitu pada 5 Mac.- 1/10/2025



