
Keanggotaan STAR, SAPP dalam GRS tamat selepas putuskan bertanding solo
Keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan sendirinya tamat selepas kedua-dua parti itu memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang masing-masing pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) akan datang.
Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Rabu
Katanya, mesyuarat hampir dua jam itu turut dihadiri semua Presiden parti komponen.
Menurutnya, agenda utama mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu adalah untuk membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS dalam menghadapi PRN-17 termasuk rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Dalam mesyuarat tersebut juga, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee, telah menyatakan hasrat parti masing-masing untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam PRN17 nanti.
“Mereka memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang akan dimuktamadkan antara GRS dan PH.
“Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi oleh calon-calon dari PH,” katanya dalam kenyataan.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, Pengerusi GRS dalam mesyuarat berkenaan telah memperingatkan bahawa semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan bersama PH sebelum ini.
Beliau turut menegaskan bahawa atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS, dalam menghadapi PRN-17.
“Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, mesyuarat telah memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS.
“Oleh itu, calon-calon daripada parti tersebut (STAR dan SAPP) tidak lagi mewakili GRS dalam PRN-17. Dengan keputusan dan tindakan tersebut, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat,” katanya.
Tambahnya lagi, Presiden STAR dan Presiden SAPP turut menyatakan bahawa mereka menghormati pendirian parti-parti komponen lain yang memilih untuk terus kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH dalam menghadapi PRN yang akan datang.
Sementara itu, Masidi berkata,Pengerusi GRS yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), bersama Presiden parti-parti komponen lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo dalam PRN-17.
Katanya, mesyuarat telah berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mesra, ikhlas dan berterus terang.
“Semua pimpinan yang hadir akur dengan keputusan yang dibuat secara musyawarah, dan tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang.
“GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN-17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.-3/10/2025



