
PM zahir penghargaan atas keberanian aktivis Malaysia
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad sempat berinteraksi dengan aktivis Malaysia di Istanbul bagi menanyakan khabar mereka sebaik dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Menerusi panggilan video yang dikongsi di Facebook, beliau menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan, dan pengorbanan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) berkenaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.
Menurut Datuk Seri Anwar, aktivis berkenaan merupakan lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan tanpa mengira sempadan.
“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik dan semangat mereka masih kental.
“Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur kelak.Kita juga akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan para wira dan wirawati kemanusiaan ini, selain terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.



