KEMBARA

Lenggong Outdoor Festival 2025: Pelarian digital ke pelukan alam semula jadi

Peserta yang menyertai Lenggong Outdoor Festival (ODF) 2025 mengakui mereka menjadikan acara itu sebagai peluang untuk ‘lari’ dari kehidupan bandar dan mendekatkan diri dengan alam.

Penganjuran selama tiga hari di Tasik Raban itu menyaksikan lebih 2,500 peserta berkumpul menikmati keindahan alam sambil mengambil bahagian dalam lebih 80 aktiviti luar termasuk ‘wall climbing’, berkayak, ‘abseiling’, melukis serta bengkel kemahiran kendiri.

Seorang peserta dari Perak, Emma Noordin, 40, berkata, penyertaannya bersama keluarga menjadi peluang untuk memperkenalkan anak-anak kepada aktiviti luar dan keindahan alam semula jadi.

“Saya bawa anak-anak sebab nak mereka terdedah dengan aktiviti luar dan tengok alam semula jadi. Memang seronok, pemandangan cantik dan mereka sangat menikmati suasana di sini,”katanya.

Sementara itu, Linda Yana, 32, dari Kuala Lumpur, berkata penyertaannya bersama rakan-rakan memberi pengalaman baharu untuk berehat dan berinteraksi dengan orang lain di luar kesibukan kota.

“Seronok sebab boleh jumpa orang baharu. Kat sini lebih tenang, boleh berbual dengan orang yang tak kenal dan lupakan sekejap kesesakan serta tekanan kerja di KL,” ujarnya.

Bagi Nurzahra Rusdi, 28, dari Selangor, festival ini mempertemukannya dengan rakan baharu yang dikenali secara spontan melalui aktiviti yang disertai bersama.

“Saya datang seorang tapi kenal ramai orang melalui aktiviti, dari tak kenal terus jadi kawan sebab minat sama, suasana dia lengkap ada sungai, gunung dan tasik,” katanya.

Sementara itu, Raffiq Khalil, 31, dari Johor, menyifatkan penganjuran festival ini sebagai peluang untuk berehat seketika daripada teknologi dan kembali menikmati keindahan alam semula jadi.

“Kat sini kita boleh jumpa orang depan mata, bukan tengok gajet sahaja.

“Pemandangan dekat Lenggong pun cantik sangat, memang tempat yang sesuai untuk lari sekejap daripada dunia digital,” katanya.

Selain melakukan aktiviti luar serta menimba ilmu baharu, festival yang berakhir hari ini turut menjadi platform komuniti untuk saling berkenalan, berkongsi pengalaman serta menghargai keindahan alam di Lenggong kawasan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.-6/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button