YANG VIRAL

FAM tegaskan tiada pemalsuan dokumen, akan merayu…

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)berhubung keputusan tatatertib melibatkan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan, selepas menerima dokumen penghakiman penuh daripada badan induk bola sepak dunia itu.

Menerusi kenyataan hari ini, FAM menegaskan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu berkenaan sudah lengkap dan sedia dikemukakan kepada FIFA melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

FAM turut memandang serius beberapa kesimpulan yang terkandung dalam keputusan tersebut, khususnya dakwaan bahawa para pemain terbabit “memperoleh dokumen yang dipalsukan” atau dengan sengaja berusaha mengelak peraturan kelayakan.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA,” jelas kenyataan itu.

“Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan serta pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,” jelas kenyataan itu lagi.

FAM menyifatkan penggambaran terhadap isu berkenaan sebagai tidak tepat dan tidak adil, dan perkara itu akan dibangkitkan secara menyeluruh dalam proses rayuan rasmi.

Persatuan itu turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara dan hak para pemain, selain memastikan proses rayuan berjalan secara telus serta mengikut peraturan.

Dalam masa sama, FAM menjelaskan bahawa kes ini turut melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur kerajaan bagi pengeluaran dan pengesahan pasport, yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966.

“Sehubungan itu, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut dan hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja,” tambah kenyataan itu.-7/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button