
PM beri amaran keras kepada King Sing, MOTAC isu arak
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Perdana Menteri berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
“Penjelasan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) ialah… ini setelah selesai acara rasmi, tapi tempat dan majlis yang sama. Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir, tetapi tidak wajar sama sekali,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada BERNAMA dan RTM di Kompleks Bunga Raya di Sepang selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Terdahulu, tular gambar memaparkan program didakwa Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia menyajikan minuman beralkohol, namun King Sing menegaskan pihak industri dan sektor swasta teruja dengan acara global yang julung kali dianjurkan itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.
Tambahnya lagi, acara selama dua hari setengah dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Kabinet dan UMNO yang diterajuinya menolak sekeras-kerasnya perbuatan itu.
“Saya sendiri akan membawa ke mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan UMNO. Sebagai presiden parti, kita menolak 100 peratus,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Menyifatkan perbuatan itu tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, beliau menegaskan, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti bangsa serta agama dan dalam kes terbaharu itu, sensitiviti umat Islam dan agama Persekutuan.- 7/10/2025