
Lepas bubar DUN… Hajiji atur strategi politik kekal kuasa
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan itu, yang pertama diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Ketua Menteri Sabah, mesyuarat berkenaan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan merupakan pertemuan pertama selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) tidak lagi bersama GRS.
Antara yang hadir ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin.
Turut hadir Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman, Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Rina Jainal dan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Masidi Manjun.
Mesyuarat itu turut menyaksikan kehadiran Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Alfred Angin, yang sebelum ini mengumumkan beliau bersama empat lagi wakil rakyat partinya akan kekal bersama GRS.
Semalam, Hajiji mengumumkan pembubaran DUN Sabah ke-16 di Menara Kinabalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.-8/10/2025