
Matlamat misi sudah tercapai sekalipun tidak sampai ke Gaza…
Sekalipun misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang turut disertai semblan rakyat Malaysia tidak sampai ke Gaza, namun objektif misi berkenaan sudah tercapai.
‘Israel boleh tahan kapal, memenjarakan aktivis, namun gelombang flotilla ke Gaza akan terus berlayar…setidak-tidaknya dalam naluri dan semangat kita semua.”
Hal ini ditegaskan Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha dalam ucapannya ketika menyambut kepulangan sembilan aktivis Malaysia ke tanah air dari Istanbul, Türkiye di KLIA petang Ahad.
Sembilan aktivis berkenaan selamat tiba pada pukul 4 petang dan disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di balai ketibaan.
Turut sama menyambut mereka ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta anggota keluarga.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad, yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lepas.
Kapal kapal misi itu ditunda ke Pelabuhan Ashdod dan kemudiannya para peserta dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.
Lapan rakyat Malaysia yang menaiki kapal Conscience ialah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut bersama dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil; serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Aktivis Malaysia yang menaiki kapal Umm Saad pula ialah Dr Maziah Muhammad.
Mereka dibebaskan dan kemudian diterbangkan ke Istanbul Turkie.- 12/10/2025
9 peserta FFC dijangka tiba di KLIA 1 pada 5 petang ini

Peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang ditahan tentera Israel dan kemudian dibebaskann dijangka tiba di KLIA terminal 1 kira-kira jam 5 petang Ahad.
Satu kenyataan Sumud Nusantara Official jemput orang ramai hadir bagi menyambut kepulangan deligasi sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam membawa suara rakyat Malaysia untuk Gaza.- 11/10/2025

9 peserta Malaysia misi FFC dibebaskan kini berada di Istanbul
Satu lagi debaran misi menerusi jalan laut ke Gaza berakhir dengan selamat setelah dipintas dan ditahan tentera Israel.
Kesemua sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTG) telah dibebaskan.
Mereka ialah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, Dr Maziah Muhammad,dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Kenyataan kementerian Luar mengesahkan bahawa kesemua mereka telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turkiye, pada jam 2.30 petang (waktu tempatan) atau 7.30 malam (waktu Malaysia).
Katanya mereka akan menjalani penilaian kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum pulang ke Malaysia dalam beberapa hari akan datang.
Kementerian itu turut merakamkan penghargaan mendalam kerajaan Malaysia kepada kerajaan Turkiye dan rakan-rakan kerjasama yang lain atas bantuan dan sokongan penting yang membawa kepada pembebasan serta penghantaran pulang rakyat Malaysia dengan segera.
“Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Malaysia,” katanya lagi.
Misi kemanusiaan FFC dan TMTG melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara menaiki sembilan kapal, termasuk Conscience dan Umm Saad, yang telah dipintas oleh tentera Israel pada Rabu (8 Oktober) ketika berada kurang daripada 120 batu nautika dari Gaza.
Pada Rabu lalu, sembilan kapal membabitkan Abd Elkarim Eid, Alaa Al-Najjar, Anas Al Sharif, Conscience, Gaza Sunbird, Leila Khaled, Milad, Soul of My Soul dan Umm Saad dipintas tentera Israel.
Ia berlaku ketika kapal-kapal tersebut dalam pelayaran di kedudukan 120 batu nautika (zon kuning) dari Gaza.
Semua kapal terbabit kemudian dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum para aktivis dibawa ke Penjara Ketziot untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa Israel.- 10/10/2025
Mesej ringkas dari Kementerian Luar Israel mengenai peserta misi FFC yang ditahan…
Setakat Rabu malam…khabar yang diterima mengenai peserta misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens To Gaza yang dipintas pagi tadi di perairan antarabangsa ialah dari hantaran di aplikasi X Kementerian Luar Israel.
Tanpa memberi butiran secara terperinci mengenai kedudukan mereka….kementerian itu kata kesemua peserta misi berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Kementerian kerajaan Zionis itu kata adalah dijangka peserta-peserta misi misi berkenaan akan dihantar pulang dengan segera.
Sementara itu pada majlis himpunan soladiriti Bersama Gaza di Aixata Arena Rabu malam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata beliau telah dimaklumkan dari kerajaan Turkie mereka akan bantu usaha bebaskan sembilan peserta Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel.
Katanya perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menerusi Menteri Luarnya, Hakan Fidan kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Sahabat saya Erdogan baru beri mesej melalui menteri luarnya sampaikan kepada Datuk Mohamad Hasan, insya-Allah Turkiye akan terus bantu sembilan (aktivis FFC) itu,” katanya. – 8/10/2025
Sembilan rakyat Malaysia misi FFC ditahan Israel…setakat ini belum ada sebarang khabar tentang mereka
Ketika semua peserta Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sudah selamat sampai ke tanah air Selasa malam…seramai sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza pula ditahan tentera Israel apabila bot mereka dipintas pada jam 10.50 pagi ini waktu Malaysia.
Ketika berita ini ditulis jam 3.45 petang belum ada sebarang khabar terbaru mengenai keadaan mereka.
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menjangkakan tiada sebarang akses komunikasi dapat dilakukan dengan semua delegasi Malaysia dalam misi gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) untuk tempoh sehingga 24 jam, susulan pemintasan kapal oleh tentera Israel
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar menjelaskan bahawa lebih 15 jam diperlukan untuk membawa semua bot dari lokasi pintasan ke daratan.
Pintasan itu dilakukan ketika kesemua kapal itu berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
Sebelum ini dimaklumkan misi berkeaan sepatutnya dijangka memasuki zon merah pukul 5 petang ini.
Misi itu yang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.
Misi FFC kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept lepas diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut serta berada di atas kapal berkenaan dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Misi kemanusiaan itu bertujuan menghadirkan liputan langsung dan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sedang mengalami kepungan dan sekatan Israel.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa.
Beliau menegaskan, tindakan provokatif itu melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.
Menurut beliau, penahanan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan perlu dihentikan segera.
Anwar menuntut semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang berada dalam misi berkenaan dibebaskan serta-merta, diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak dicederakan sepanjang tempoh tahanan.
Katanya, kerajaan MADANI berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi tersebut.
Selain itu, kerajaan juga akan menghubungi negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah pembebasan mereka dengan secepat mungkin.- 8/10/2025



