
Gaza…Malaysia bakal cipta sejarah jika berjaya tembus pintu Rafah menerusi Mesir hantar bantuan
Ini bukan angan angan tetapi satu perancangan yang disuarakan oleh Sumud Nusantara Malaysia depan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena pada Rabu malam yang dihadiri ribuan orang.
Jika ia berjaya dilaksana Malaysia bakal cipta sejarah mengetuai usaha antarabangsa yang baru ‘buka’ pintu Rafah menerusi Mesir untuk hantar bantuan guna jalan darat kepada rakyat Palestin yang sekian menderita termasuk kebuluran akibat cengkaman Israel.

Usaha hantar bantuan melalui pelbagai cara ke sana kebelakangan ini sangkut gara gara sekatan Israel.
Sebelum ini usaha menerusi air drop hantar bantuan oleh pelbagai pihak gagal dan usaha pecahkan kepungan rejim zionis menerusi lautan seperti misi flotilla juga gagal.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sani Araby dalam ucapan dihimpunan itu memohon Perdana Menteri untuk membantu mengatur gerak pasukan itu menghantar bantuan ke Gaza melalui laluan darat menerusi sempadan Mesir.
Beliau yakin hubangan baik dan luar biasa Anwar dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mampu memudahkan atur gerak bantuan bagi gelombang kedua.

“Kita gunakan pentas ini dan memohon izin Datuk Seri (Anwar) mengatur gerak Sumud Nusantara Malaysia ke bumi Mesir kerana saya tahu Datuk Seri ada hubungan baik dengan Presiden Mesir.
“Kita tahu Datuk Seri boleh memainkan peranan yang luar biasa dan tidak terjangkau. Saya minta izin untuk bagi laluan kepada Sumud Nusantara Malaysia untuk kita buat gelombang kedua menghantar bantuan melalui darat,” katanya.
Dr Sani mengambarkan Malaysia akan menjadi peneraju dan memimpin gerakan antarabangsa bantu rakyat Palestin di Gaza jika usaha ini menjadi kenyataan.

Dalam ucapan beliau selepas itu Anwar beri ‘lampu hijau’ pada perancangan itu.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk berunding dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam usaha membawa masuk bantuan kemanusiaan menggunakan laluan darat melalui pintu Rafah.
Beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan dengan jemaah menteri, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri.
“Saya akan panggil kawan-kawan bincang bagaimana strategi hendak sampai ke Mesir, pecah tembok Rafah, Kalau boleh minggu depan setelah berunding dengan mereka, saya akan hubungi Presiden Mesir, mudah-mudahan, laluan ini lebih mudah,” katanya.- 9/10/2025