TAHUKAH ANDA

Malaysia tolak hubungan diplomatik dengan Israel – Fahmi

Malaysia kekal dengan pendirian tegas menolak sebarang bentuk hubungan diplomatik dengan Israel serta terus menyokong perjuangan membebaskan rakyat Palestin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah tegas itu turut merangkumi larangan terhadap pesawat Israel melintasi ruang udara negara dan pengharaman kapal yang mempunyai kaitan dengan rejim Zionis daripada berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Menurut beliau, dasar luar Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana tindakan yang memberi ruang atau pengiktirafan kepada rejim tersebut.

“Kita melarang mana-mana kapal terbang dari Israel daripada melintasi ruang udara negara. Kita juga mengharamkan mana-mana kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia.

“Kita tahu bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, malah dalam pasport kita sendiri menyatakan, rakyat Malaysia boleh pergi ke mana sahaja kecuali Israel,” katanya ketika diwawancara dalam rancangan Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang disiarkan di TV1, hari ini.

Tambahnya, kerajaan MADANI komited mempertahankan prinsip kemanusiaan dan menolak sebarang bentuk kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan propaganda yang cuba menormalisasikan hubungan dengan rejim Zionis.-9/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button