
Trump umum Israel-Hamas setuju genjatan senjata fasa pertama
Israel dan Hamas mencapai persetujuan untuk fasa pertama perjanjian Gaza yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS), membenarkan pembebasan semua tebusan Israel, umum Presiden AS Donald Trump pada Rabu.
“Saya sangat berbangga untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas bersetuju dengan Fasa pertama Rancangan Keamanan kami,” kata Trump di Truth Social.
“Ini bermakna SEMUA Tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan mengundurkan tentera mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah Keamanan yang Kuat, Tahan Lama dan Kekal,” tambah Trump.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas ulang tahun kedua serangan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan serangan dahsyat Israel ke atas Gaza.
Pihak berkuasa Gaza berkata, lebih 67,000 orang terbunuh dan sebahagian besar kawasan itu diratakan sejak Israel memulakan tindak balas tenteranya terhadap serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Kira-kira 1,200 orang terbunuh, dan 251 tebusan dibawa ke Gaza, menurut pegawai Israel, dengan 20 daripada 48 tebusan masih ditahan dipercayai masih hidup.
Terdahulu pada Rabu, Trump berkata, beliau mungkin pergi hujung minggu ini ke Mesir, di mana utusannya sedang berbincang untuk cuba memeterai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.-9/10/2025