
Gaya hidup baru lahirkan ‘generasi makan luar’… – DOSM
Tahukah anda… corak perbelanjaan rakyat Malaysia kini semakin berubah apabila perbelanjaan di restoran dan perkhidmatan penginapan mencatatkan peningkatan ketara kepada 17 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah pada 2024.
Dapatan itu adalah Laporan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan itu menjadikan kategori restoran dan penginapan sebagai antara empat perbelanjaan utama rakyat Malaysia, selain perumahan, makanan serta pengangkutan.
Ia sekali gus menggambarkan perubahan gaya hidup yang semakin beralih kepada aktiviti makan di luar dan penggunaan perkhidmatan berkaitan hospitaliti.
Menurut laporan itu, perbelanjaan isi rumah bulanan purata meningkat 3.9 peratus setahun kepada RM5,566 pada 2024, dengan sebahagian besar perbelanjaan datang daripada sumber bukan pendapatan seperti bantuan kerajaan bukan tunai dan hasil keluaran sendiri.
“Perbelanjaan makan di luar meningkat, manakala perbelanjaan makan di rumah menunjukkan sedikit penurunan, menandakan kecenderungan gaya hidup moden yang lebih urban (bandar) dan mobil,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin,”.
Menurut Laporan HIES 2024, perbelanjaan dalam kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain kekal sebagai komponen terbesar pada 23.5 peratus, diikuti restoran dan perkhidmatan penginapan (17 peratus), makanan dan minuman (15.7 peratus) serta pengangkutan (11.0 peratus).
Peningkatan perbelanjaan di restoran itu turut dikaitkan dengan kenaikan pendapatan isi rumah Malaysia yang terus menunjukkan pertumbuhan positif.
Pendapatan penengah isi rumah meningkat 5.1 peratus setahun kepada RM7,017, manakala purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM9,155 pada 2024.
Kementerian Ekonomi menjelaskan, dapatan itu menunjukkan daya tahan ekonomi isi rumah Malaysia yang kukuh walaupun berdepan peningkatan kos sara hidup dan perubahan struktur perbelanjaan pascapandemik.
Di samping itu, pendapatan boleh guna isi rumah purata meningkat kepada RM7,584, mewakili 82.8 peratus daripada jumlah pendapatan kasar, menandakan kemampuan rakyat menampung perbelanjaan harian termasuk aktiviti sosial seperti makan di luar.
Laporan berkenaan turut menunjukkan jurang pendapatan semakin mengecil, apabila Pekali Gini (ukuran tahap ketidaksamaan pendapatan atau kekayaan) bertambah baik kepada 0.390 berbanding 0.404 pada 2022, dengan peningkatan agihan pendapatan terutama dalam kumpulan B40 (gaji berpendapatan rendah) yang kini menerima 16.7 peratus daripada jumlah pendapatan nasional.
Dalam masa sama, insiden kemiskinan mutlak negara menurun kepada 5.1 peratus berbanding 6.2 peratus pada 2022, manakala kemiskinan bandar susut kepada 3.7 peratus dan kemiskinan luar bandar kepada 10 peratus.-10/10/2025