FOKUS

Doakan Belanjawan 2026 berjalan lancar – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat, berjalan lancar.

Beliau meminta agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan segala urusan dilaksanakan dengan selamat dan dipermudah.

“Doakan semuanya selamat, insya-Allah,” katanya selepas meninjau persiapan akhir pembentangan Belanjawan di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Untuk rekod, ini merupakan belanjawan keempat yang dibentang oleh Kerajaan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan prabelanjawan 2026 yang disiarkan di laman sesawang khas Kementerian Kewangan, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina melalui Belanjawan MADANI sebelum ini.

Belanjawan 2026 juga akan terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.

Turut Hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri turut beramah mesra dengan petugas yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2026.

Seramai 320 orang terbabit terdiri daripada Bahagian Cukai, Fiskal dan Ekonomi, Antarabangsa, Pejabat Belanjawan Negara dan Pasukan Bajet.-10/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button