YANG VIRAL

Ketegasan, kecekapan dan empati… Tunjang Belanjawan 2026

Belanjawan 2026 mencerminkan pendekatan baru kerajaan Malaysia berpaksikan ketegasan dalam tatakelola, kecekapan fiskal dan empati terhadap rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, menegaskan pendekatan itu bukan sekadar berasaskan teori ekonomi, sebaliknya digarap berlandaskan realiti semasa, cabaran fiskal negara serta kesungguhan luar biasa warga Perbendaharaan.

Jelasnya, setiap belanjawan yang dirangka mesti selari dengan keadaan ekonomi semasa, bukan semata-mata berpandukan kerangka teori ekonomi ideal, tetapi tidak mengambil kira kekangan sebenar negara

“Negara kini tidak lagi berada dalam suasana ekonomi rancak seperti tahun 1990-an apabila pertumbuhan mencapai lebih 10 peratus setahun dan defisit kecil, sebaliknya mewarisi beban hutang dan defisit tinggi yang memerlukan pendekatan lebih berhemat dan berimbang.

“Kita warisi hutang membengkak dan defisit tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

Anwar berkata semua itu mesti diteliti terlebih dahulu sebelum kerajaan melakar kerangka belanjawan yang sesuai dengan tuntutan semasa.

“Sebab itu, tumpuan utama saya sejak mengambil alih pentadbiran ialah memperkukuh tatakelola,” katanya.

Beliau berkata tatakelola dan integriti menjadi tunjang utama kepada usaha kerajaan membina semula keyakinan terhadap institusi pentadbiran, termasuk memperkukuh keupayaan badan penguat kuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita berjaya kumpulkan RM15.5 bilion ($4.7 bilion) hasil rampasan, cukai tertunggak, penyeludupan rokok, arak dan sindiket penipuan dalam talian. Ini bukan hasil cukai baru, tetapi hasil daripada tatakelola yang tegas dan penguatkuasaan bersih.

“Kalau hasil sudah meningkat kerana kita hentikan ketirisan dan rasuah, kenapa perlu bebankan rakyat dengan cukai tambahan?” soalnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar fiskal kerajaan kini berlandaskan keseimbangan antara mengurangkan defisit dan hutang negara dengan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Kita berjaya turunkan defisit daripada 5.6 peratus kepada 3.8 peratus. Itu satu langkah besar, tetapi saya tidak mahu ia dilakukan secara terburu-buru kerana kalau terlalu drastik, rakyat akan terhimpit,” jelasnya.

Mengenai penyasaran subsidi, beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati supaya penjimatan yang diperoleh tidak datang dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah.

“Kita tidak mahu rakyat terbeban semata-mata kerana mahu kejar angka cantik dalam laporan ekonomi. Teori ekonomi mesti berpijak pada realiti rakyat, bukan teori atas langit. Itu sebabnya kita laksana penyasaran subsidi dengan penuh cermat dan adil,” terangnya.-16/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button