FOKUS

Bayaran STR Fasa 4 kepada 8.8 juta penerima diawalkan mulai hari ini,Sabtu

Asalnya jadual bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 8.8 juta penerima ialah pada pertengahan November.

Sebaliknya bayaran itu akan dibuat lebih awal yakni bermula esok,Sabtu.

Menerusi satu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berkata langkah mempercepatkan pembayaran itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan kewangan sampai kepada rakyat tepat pada masanya.

Katanya diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali.

Menurutnya bagi fasa ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion, dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori.

Katanya, pembayaran Fasa 4 turut merangkumi 200,000 pemohon baharu yang diluluskan bagi STR 2025, dengan penyaluran kepada kumpulan ini dijadualkan bermula 13 November ini.

Jumlah penerima keseluruhan juga meningkat 500,000 individu dan isi rumah berbanding 8.3 juta penerima pada Fasa 1 Januari lalu, hasil pelaksanaan dasar baharu kerajaan yang membenarkan permohonan serta rayuan STR dibuka sepanjang tahun.

“Bagi pembayaran kali ini, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara terus dikreditkan ke akaun masing-masing antara 18 hingga 24 Oktober, manakala penerima tanpa akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan, boleh menuntut bayaran tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Selasa ini.

“Selain itu, kategori penerima STR Fasa 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah seramai 3.1 juta orang yang akan menerima antara RM200 hingga RM700; isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 seramai sejuta orang dengan kadar antara RM100 hingga RM350; warga emas tiada pasangan seramai 1.3 juta orang yang menerima RM150 dan kategori bujang seramai 3.4 juta orang yang turut menerima RM150,” katanya.

Kerajaan turut memaklumkan pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 akan dibuka sepanjang tahun bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang menerima manfaat bantuan kerajaan.

Sementara itu, bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan dan disemak bersama maklumat daripada agensi berkaitan bagi menentukan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat ditetapkan.

Langkah ini turut membabitkan penyelarasan data daripada beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), eKasih, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta institusi zakat dan baitulmal negeri.

Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

Pada pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober lalu, Anwar mengumumkan peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 mencecah RM15 bilion sebagai komitmen berterusan kerajaan membantu rakyat mendepani tekanan kos sara hidup.- 17/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button