
Bank wajib keluar notis jika tutup akaun pelanggan
Semua institusi kewangan kini diwajibkan memaklumkan secara bertulis kepada pelanggan sekiranya akaun mereka ditutup termasuk apabila disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram atau disalah guna sebagai akaun keldai.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu penting bagi memastikan tindakan penutupan akaun dilaksanakan secara telus dan adil termasuk melindungi pemilik akaun yang terkesan akibat penipuan kewangan.
“Notis ini perlu menyatakan sebab akaun ditutup serta menerangkan hak pelanggan untuk mengemukakan rayuan termasuk saluran dan tempoh masa yang ditetapkan.
“Melalui pendekatan ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dapat mengimbangi keperluan membanteras aktiviti pengubahan wang haram dengan perlindungan hak pemegang akaun daripada tindakan penutupan tanpa asas kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Kim di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut memperkenalkan protokol industri yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu bagi menyeragamkan proses pelaporan dan rayuan akaun yang disyaki sebagai akaun keldai.
Protokol itu turut memperkukuh kerjasama antara institusi kewangan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mempercepat siasatan serta melindungi pengguna daripada eksploitasi jenayah kewangan.-22/10/2025