
Kes pelajar 14 tahun tikam pelajar 16 tahun masuk mahkamah
Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjadi tumpuan pagi Rabu bila kes pelajar 14 tahun berdepan tuduhan bunuh pelajar 16 tahun sekolah sama yakni Sekolah Menengah Kebangsaan di Bandar Utama, pada 14 Oktober lalu didakwa di mahkamah berkenaan.
Apapun prosiding kes yang sensasi itu dijalankan secara tertutup mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Tertuduh dibawa dengan sebuah kenderaan polis tanpa logo tiba di pekarangan Kompleks mahkamah jam 8.50 pagi.
Diak dibawa masuk melalui laluan belakang bangunan sebelum dibawa ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan secara tertutup.
Difahamkan, ibu bapa tertuduh turut berada di mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa membunuh mangsa berusia 16 tahun dalam tandas perempuan sekolah itu antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, 14 Oktober lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati namun bagi pesalah bawah umur, hukuman penjara tidak lebih 30 tahun jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna jingga, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 November ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi pada 14 Oktober lalu, mangsa pelajar perempuan Tingkatan Tiga ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas perempuan sekolah berkenaan.
Susulan itu, polis menahan pelajar lelaki Tingkatan Satu berusia 14 tahun yang juga rakan sekolah mangsa.
Polis merampas senjata dipercayai digunakan suspek dalam kes itu iaitu sebilah pisau dan kerambit.- 22/10/2025