TAHUKAH ANDA

RM1 juta diperlukan untuk bawa pemain warisan ke mahkamah sukan

Sekurang-kurangnya RM1 juta perlu disediakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya berhasrat untuk mengheret isu tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Kos berkenaan adalah anggaran kasar yang mungkin lebih rendah atau melebihi RM1 juta apabila ia babitkan pembayaran yuran rayuan, yuran guaman, yuran kepakaran dan kos pendahuluan rayuan.

Peguam sukan, Zhafri Aminurashid memaklumkan, kos setiap kategori yuran berbeza-beza dengan jumlah keseluruhan boleh mencecah hampir RM1 juta.

“Yuran rayuan ke CAS dalam CHF1,000 atau RM5,314 dan ia tidak akan dipulangkan.

“Kemudian ada yuran seperti pembayaran guaman dari RM100,000 hingga RM200,000 diikuti yuran saksi pakar yang boleh mencecah RM10,000 hingga RM50,000 setiap saksi.

“Itu belum lagi yuran pendahuluan rayuan bermula dari CHF10,000 (RM53,143) hingga CHF50,000 (RM265,717). Kos ini perlu ditanggung oleh kedua-dua pihak.

“Tetapi ‘normally’ FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) takkan bayar dan FAM perlu bayar semua dulu. Jika FAM tak bayar rayuan akan ditolak,” katanya.

Terdahulu, FIFA mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan denda yang dikenakan terhadap FAM dan penggantungan 12 bulan kepada tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision”, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.

Susulan itu, FAM mengemukakan rayuan kepada FIFA dan keputusan rayuan akan dikeluarkan pada 30 Oktober ini.

Sekiranya keputusan tidak memihak FAM, badan induk bola sepak tempatan itu dijangka akan mengheret isu berkenaan ke CAS.-23/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button