
PM bincang usaha perkukuh ekosistem bola sepak dengan Presiden FIFA
Dalam kesibukan jadual menerima kunjungan pemimpin antarabangsa di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa bertemu Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino,
Menurut Anwar menerusi hantaran di Facebook, pertemuan itu antara lain menumpukan kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN.
“Antara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan projek Arena FIFA yang dijangka menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih ramai bakat tempatan serta peningkatan prasarana bola sepak negara.
“Kami turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang merupakan langkah strategik ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global,” katanya menerusi hantaran itu.
Anwar berkata, Malaysia akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan bola sepak negara melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA.
Langkah itu, katanya penting bagi melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau. – Bernama – 25/10/202



