
Malaysia catat dua sejarah sebagai Pengerusi ASEAN 2025
Dua peristiwa bersejarah berjaya dilakar Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, iaitu penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN dan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur melibatkan Kemboja dan Thailand
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata penyertaan Timor-Leste melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat.
Beliau menjelaskan enyertaan rasmi Timor-Leste bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi juga hasil keteguhan Malaysia yang sejak sekian lama menyokong penyertaan negara itu ke dalam ASEAN melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti.
Sementara itu, Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dengan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam pula menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara.
“Ia sebuah kejayaan yang berakar daripada rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri pada Julai lepas,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Tunku Nashrul berkata langkah berkenaan menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan dan pembebasan tawanan.
Mengulas mengenai perjalanan hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Tunku Nashrul berkata tumpuan diberikan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan.

Lima sidang kemuncak utama akan berlangsung hari ini, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3), Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia sekali gus menegaskan bahawa ASEAN bukan sekadar pusat untuk pertumbuhan, tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik,” katanya.
Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri dijangka mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan pimpinan lain sebelum mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dengan menghadiri Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama pemimpin lain dan rakan-rakan dialog.
“Insya-Allah dengan momentum yang telah dibina, Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad dan keyakinan memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama yang membawa manfaat kepada seluruh rantau,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul memaklumkan hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam telah berjaya menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama strategik ASEAN bersama dengan rakan-rakan strategik ataupun rakan dialog.
Beliau berkata sidang kemuncak itu juga berjaya memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mapan sekali gus mengangkat suara ASEAN ke tahap lebih berpengaruh di pentas global.
Semalam, Perdana Menteri telah mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3 dan Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 yang diadakan secara maya.-27/10/2025



