
Krisis Bersatu: Saifuddin Abdullah pula ‘kena pancung’…
Sehari selepas membuat kenyataan desak Tan Sri Muhyiddin Yassin undur diri sebagai Presiden Bersatu, Ahli Parlimen Indera Mahkota,Pahang Datuk Saifuddin Abdullah pula ‘kena pancung’.
Bekas Menteri Luar itu telah digugurkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang.
Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Kuala Lumpur Isnin malam yang dipengerusikan oleh Muhyiddin selaku Pengerusi PN.
Jawatan Pengerusi PN Pahang kini disandang oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Perubahan berkenaan diumum oleh Setiausaha Agung PN Datuk Seri Azmin Ali menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataanya semalam,Saifuddin turut mendesak Azmin digugurkan sebagai Setiausaha Agung Bersatu manakala kedudukan Datuk Tun Faisal sebagai Ketua Penerangan parti itun diganti.
Sementara itu mesyuarat MT PN juga membuat keputusan mengugurkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sebagai Pengerusi PN Perlis.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan sandang jawatan Pengerusi PN Perlis.
Di Melaka pula Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin ganti Dr Yadzil Yaakub
Bagi jawatan Pengerusi PN Johor ia disandang oleh Datuk Dr Sahruddin Jamal; Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah); Datuk Ahmad Yakob (Kelantan); dan Mohamed Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak); Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah); Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak); Azmin (Selangor); Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidi (Wilayah Persekutuan).
Menurut Azmin pelantikan Pengerusi PN negeri berkuat kuasa pada 28 Oktober 2025. – 27/10/2025



