
KL sedia semarakkan TMM2026
Kuala Lumpur kini bersedia menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan memperlihatkan keindahan, kepelbagaian dan semangat Malaysia kepada dunia selepas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, ibu negara bersedia menunjukkan Kuala Lumpur sebagai bandar bertaraf dunia yang memiliki keunikan tersendiri.
“Kami sudah bersedia dari segi infrastruktur dan juga bersama dengan rakan-rakan komuniti untuk menunjukkan bahawa Kuala Lumpur adalah bandar yang bertaraf dunia serta mempunyai identiti dan jiwanya tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Deepavali Kuala Lumpur 2025 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di perkarangan Malaysia Tourism Centre (MaTiC) di sini.
Acara itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, bersama wakil kedutaan asing, Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan serta ketua-ketua jabatan DBKL.
Lebih 2,500 pengunjung termasuk pelancong domestik dan antarabangsa memeriahkan sambutan yang menampilkan pelbagai persembahan menarik seperti muzik dan tarian pelbagai kaum, persembahan silambam, bangra serta demonstrasi seni dan kraf tradisional seperti pembuatan gelang tangan dan lukisan henna.
Penganjuran itu juga memperteguh kedudukan Kuala Lumpur sebagai ‘City of Celebration’ yang diraikan semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu kalendar TMM2026 akan dilancarkan di ibu negara pada Jumaat (31 Oktober) dan menyenaraikan kesemua program sepanjang tahun 2026.-30/10/2025



