
PPUMCare: RM5.5 Juta dikumpul untuk bantu Pesakit B40
Majlis Makan Malam Amal ‘A Night To Care: Harapan Buat Pesakit Yang Memerlukan Rawatan Melalui PPUMCare’ anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai berjaya mengumpul RM5.5 juta bagi Tabung PPUMCare.
Dana itu akan dimanfaatkan bagi membiayai rawatan, ubat-ubatan serta peralatan perubatan pesakit kurang berkemampuan, khususnya dalam kalangan B40.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata sumbangan kepada dana PPUMCare mencerminkan semangat keprihatinan dan kasih terhadap rakyat yang memerlukan.
“Kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Apa yang kita sumbangkan malam ini menunjukkan kepercayaan dan rasa tanggungjawab agar bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika merasmikan majlis itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa PPUM merupakan antara hospital pengajar terbesar negara yang merawat lebih sejuta pesakit setiap tahun, dengan purata 3,500 pesakit setiap hari dan 1,200 katil yang sentiasa penuh.
“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM46.5 bilion kepada sektor kesihatan dalam bajet semasa, meningkat berbanding RM45.3 bilion pada tahun 2020,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa dana PPUMCare amat penting bagi memastikan pesakit daripada golongan kurang berkemampuan terus menerima rawatan.
“Atas usaha semua penyumbang, jumlah yang berjaya kita raikan malam ini untuk PPUMCare berjumlah RM5.5 juta,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga membenarkan hospital pengajar atau universiti awam menubuhkan Tabung Endowment, sekali gus membolehkan sumbangan yang diterima dikecualikan cukai pendapatan.
Dalam pada itu, Pengarah PPUM, Profesor Dr. Nazirah Hasnan, berkata kejayaan majlis itu mencerminkan nilai ihsan dan tanggungjawab sosial yang menjadi teras PPUM sejak tahun 1978.
“Sejak tiga tahun kebelakangan ini, PPUMCare telah membantu lebih 5,000 pesakit dengan jumlah bantuan mencecah RM19.2 juta,” katanya.
Menurutnya, pada tahun 2024, PPUMCare telah menerima sebanyak 1,969 permohonan bantuan dengan jumlah keseluruhan bantuan mencecah sebanyak RM7.6 juta yang meliputi pelbagai bidang kebakaran termasuk surgeri, ortopedik, kardiologi, respiratori industri, onkologi, oftalmologi dan pelbagai lagi.-31/10/2025
 
				 
					


