
Mahkamah benarkan permohonan MCMC sekat dua saluran Telegram
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis membenarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mendapatkan injunksi Erinford terhadap Telegram Messenger Inc dan pentadbir dua saluran Telegram, bagi menghalang mereka daripada terus menerbit atau menyebarkan 33 artikel berunsur fitnah dan berbahaya sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.
Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa kemudaratan terhadap defendan iaitu Telegram Messenger Inc serta pentadbir dua saluran Telegram, “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”, adalah minimum berbanding kemudaratan serius yang boleh menjejaskan institusi negara, keyakinan awam, dan keharmonian masyarakat sekiranya kandungan berbahaya itu terus disebarkan.
“Mahkamah juga mengambil kira kepentingan awam dan keselamatan negara dalam membuat keputusan ini, dengan menyatakan bahawa kepentingan awam mesti mengatasi kepentingan individu apabila melibatkan isu keselamatan serta kestabilan negara.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang berpegang kepada sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Semua pihak yang terlibat dalam proses kehakiman perlu menghormati nilai-nilai asas yang menjadi tunjang sistem perundangan negara,” katanya sambil menambah bahawa ketiga-tiga defendan mesti menutup saluran Telegram terbabit dan mengelakkan daripada menyebarkan kandungan berbahaya selanjutnya.
Injunksi Erinford ialah satu bentuk perintah sementara yang diberikan untuk mengekalkan status quo, selepas mahkamah menolak permohonan injunksi semasa perbicaraan atau pada peringkat awal, biasanya sementara menunggu rayuan terhadap keputusan tersebut.
Hakim Mahazan berkata mahkamah mendapati bahawa keseimbangan kepentingan jelas memihak kepada pihak plaintif, dan jika injunksi itu ditolak, rayuan berisiko menjadi tidak bermakna memandangkan saluran berbahaya tersebut mungkin akan bertambah, berpindah atau sukar diperbetulkan semula.
Beliau turut menyuarakan kekecewaannya terhadap sikap Telegram yang gagal mematuhi perintah mahkamah pada bulan lepas (September).
“Saya perlu menyatakan bahawa tindakan defendan ketiga yang membuka semula atau mengekalkan akses kepada saluran perayu, serta meneruskan permohonan serupa sejurus selepas keputusan antara pihak oleh mahkamah ini, menunjukkan sikap pemenuhan teknikal semata-mata tanpa mengambil kira semangat dan tujuan sebenar perintah mahkamah sebelum ini,” katanya.
“Mahkamah turut mengambil maklum bahawa injunksi terdahulu, yang menghalang defendan daripada mengeluarkan, menulis, menyiarkan atau menerbit semula kandungan berbahaya yang sama atau serupa, telah diberikan dengan tujuan membendung penyebaran kandungan yang dikenal pasti sebagai berunsur fitnah dan berbahaya.
“Namun, tafsiran sempit defendan ketiga terhadap perintah tersebut, dengan menganggap ia hanya terhad kepada kandungan yang disenaraikan secara khusus, jelas menunjukkan usaha untuk mengeksploitasi keperluan prosedur bagi mengelak keadilan sebenar,” katanya.
Hakim Mahazan menolak permohonan peguam pihak defendan Datuk Dr Abdul Shukor Ahmad, untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah bagi penutupan saluran Telegram terbabit. Pada prosiding hari ini, MCMC diwakili peguam Datuk Sankara Nair dan Wong Guo Jin.
Sebagai plaintif, MCMC telah memfailkan saman sivil pada 21 Mei tahun ini, menamakan individu tidak dikenali (pentadbir saluran Telegram “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”) serta Telegram Messenger Inc. masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam tuntutannya, MCMC memohon satu deklarasi bahawa defendan pertama dan kedua telah membenarkan, memudahkan serta meluluskan penggunaan saluran tersebut bagi tujuan menerbit dan menyebarkan kandungan berbahaya terhadap pihak-pihak di Malaysia.
Selain itu, MCMC turut memohon deklarasi bahawa defendan ketiga (Telegram Messenger Inc.) telah membantu, bersekongkol, memudahkan serta menyumbang kepada penerbitan dan penyebaran kandungan berbahaya tersebut, dengan gagal memadamkan saluran berkenaan walaupun telah diperintahkan secara sah di bawah undang-undang untuk berbuat demikian.
MCMC juga memohon deklarasi bahawa Telegram Messenger Inc. telah melanggar peruntukan Seksyen 73(1)(a) dan Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.
Pada 19 Jun, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan tegas dengan memfailkan saman sivil terhadap dua saluran Telegram, “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”.
Suruhanjaya itu menyatakan bahawa tindakan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram memegang lesen Class Application Service Provider (ASP(C)). -31/10/2025 – BERNAMA
 
				 
					


