FOKUS

Kes Zayn Rayyan : ibunya didapati bersalah atas dakwaan abai anak…kena hukuman penjara lima tahun

Kes kanak kanak autism Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023 kembali mencuri perhatian.

Ini bila pada Jumaat Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memutuskan ibunya, Ismanira Abdul Manaf,30 bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak.

Dia dikenakan hukuman penjara lima tahun.

Hakim, Syahliza Warnoh, menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan pengurangan hukuman oleh pihak pembelaan serta hujahan faktor pemberat daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan Ismanira, memulakan hukuman penjara serta-merta hari ini, selain mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin.

Permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi petang ini ditolak oleh hakim.

Syahliza berkata, tiada keadaan luar biasa yang boleh membenarkan penangguhan itu.

“Tiada alasan yang meyakinkan mahkamah untuk membenarkan penangguhan. Alasan bahawa dia perlu menjaga seorang lagi anak autistik adalah urusan peribadi yang boleh diuruskan oleh keluarganya.

Sementara itu keadaan agak kecoh ketika  polis mengiringi Ismanira keluar dari kamar mahkamah bila suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari seolah tidak dapat mengawal perasaan selepas hakim menolak permohonan Haresh Mahadevan, agar hukuman tersebut ditangguhkan.

Zaim kedengaran menjerit ….”Semoga Allah melaknat kau. Kau tunggu, botak”….. sambil tunjuk jari ke arah pegawai polis penyiasat kes itu.

Sebelum itu hakim memutuskan Ismanira bersalah selepas mendapati dia menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Laungan perlahan “Allahuakbar” kedengaran dari galeri awam selepas keputusan itu dibuat.

Ismanira pula kelihatan berpaling ke arah keluarganya dan suaminya dari kandang tertuduh.

Keluarga dan suaminya turut kelihatan terkejut dengan keputusan tersebut.

Prosiding kemudiannya ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk berhujah berhubung pemberatan hukuman, sementara pihak pembelaan dijadualkan mengemukakan rayuan mitigasi bagi mengurangkan hukuman.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan Zaim Ikhwan mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.

Namun pada 21 Julai lalu Zaim Ikhwan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokkannya.

Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam p.Pada 6 Disember 2023.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.- 31/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button